Rabun Jauh: Penyebab & Cara Mengatasi (Sila Beli Cermin Mata)

Rabun jauh

Masalah penglihatan yang melibatkan rabun jauh semestinya mendatangkan gangguan kepada individu yang mengalaminya. Tetapi apakah sebenarnya rabun jauh ini? Dan adakah terdapat rawatan untuk mengatasi masalah ini? Teruskan membaca perkongsian artikel kami ini.

Apa itu rabun jauh?

Rabun jauh adalah antara masalah penglihatan paling kerap berlaku di dunia. Dalam Bahasa Inggeris, ia dipanggil miopia.

Kebiasaannya mula dikesan semasa seseorang individu masih belajar di peringkat sekolah rendah apabila terdapat kepayahan dalam membaca dan melihat tulisan di papan putih. Ia juga disebut sebagai myopia atau ‘nearsightedness’.

Sekiranya anda mengalami masalah penglihatan ini anda tidak akan dapat melihat objek jauh tetapi anda dapat melihat objek yang dekat dengan jelas. Masalah penglihatan ini menyebabkan anda sukar untuk melihat objek yang jauh.

Contoh rabun jauh

Sebagai contoh, anda mungkin sukar untuk melihat atau mengenal pasti tanda jalan di lebuh raya walaupun ia cuma berjarak beberapa kaki dari anda. Masalah ini boleh meningkat secara mendadak atau perlahan-lahan.

Keadaan kesihatan ini ialah biasa bagi mereka yang berusia antara 8 ke 12 tahun, tapi ia juga boleh terjadi kepada mana-mana individu tanpa mengira peringkat usia.

Bagaimana rabun jauh boleh berlaku?

Tetapi bagaimana masalah ini boleh berlaku?

Imej pantulan

Mata adalah organ yang sangat unik dan berharga. Tanpa penglihatan, banyak perkara yang tidak dapat dilakukan. Bagi orang normal, imej yang dipantulkan oleh cahaya akan dipancarkan ke dalam mata dan jatuh di atas retina di bahagian belakang mata yang mengandungi reseptor foto.

Selepas menerima pantulan imej, reseptor foto akan menukar imej tersebut ke dalam bentuk signal elektrik untuk dihantar ke otak melalui urat saraf optik. Bahagian otak oksipital menerima signal untuk diterjemahkan menjadi maksud imej tersebut. Jika ia adalah gunung, otak akan memaklumkan kepada anda bahawa ia adalah gunung. Jika laut, anda akan melihat laut.

Dalam kes rabun jauh, imej yang dipantulkan ke dalam mata tidak jatuh di atas retina. Sebaliknya, ia jatuh di hadapan retina. Ini menyebabkan signal yang dihantar ke otak menjadi tidak jelas kerana reseptor foto tidak dapat memproses dengan baik memandangkan imej tidak jatuh di atasnya secara tepat. Semakin jauh jarak imej daripada mata, semakin jauh imej itu jatuh daripada retina dan sebaliknya. Sebab itu namanya rabun jauh.

Punca rabun jauh

Rabun jauh yang anda alami mungkin disebabkan oleh keadaan saiz bola mata anda yang menjadi lebih panjang daripada normal atau mempunyai kornea yang terlalu melengkung mengakibatkan imej tidak boleh dipantul ke atas retina. Terdapat dua faktor risiko utama:

Sejarah keluarga

Antara faktor yang mungkin meningkatkan kecenderungan anda untuk mengalami masalah penglihatan ini adalah jika terdapat salah seorang mahupun kedua-dua ibu bapa yang mempunyai masalah rabun.

Aktiviti dalam jarak dekat

Kebiasaan atau kekerapan melakukan aktiviti dalam jarak dekat seperti membaca, menggunakan komputer untuk tempoh yang lama meningkatkan risiko untuk mengalami rabun jauh.
Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa keadaan yang menyebabkan berlakunya rabun jauh untuk tempoh sementara seperti:

Rabun malam

Terdapat sesetengah individu mengalami masalah rabun hanya pada waktu malam. Keadaan ini disebabkan oleh kekurangan cahaya untuk fokus atau terlalu banyak cahaya di bahagian tepi sehingga mengganggu fokus mata.

Rabun tipu

Haaa..terkejut bukan? Rabun pun tipu-tipu. Keadaan rabun tipu ini boleh berlaku apabila seseorang individu melakukan aktiviti pada jarak dekat untuk tempoh yang terlalu lama. Ia mengakibatkan otot yang mengawal fokus mata menjadi letih dan gagal untuk berfungsi dengan baik.

Diabetes

Jika anda menghidapi masalah diabetes, masalah kesihatan ini turut boleh menjadi punca yang membuatkan penglihatan anda menjadi kabur.

Selalunya masalah rabun jauh dianggap sebagai satu masalah yang tidak serius. Terdapat banyak pilihan rawatan yang ada pada hari ini membuatkan mereka yang mengalaminya boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

Tanda rabun jauh

Simptom yang dialami oleh individu kanak-kanak dan dewasa yang berdepan dengan masalah rabun jauh adalah berbeza.

Berikut adalah antara gejala dan simptom yang boleh anda kenal pasti untuk menyedari jika anda atau anak anda mungkin mengalami masalah rabun jauh.

Antara ciri-ciri biasa bagi rabun jauh bagi individu dewasa, adalah seperti:
• Penglihatan kabur ketika melihat objek yang jauh;
• Keperluan untuk mengecilkan mata atau menutup separuh kelopak mata untuk melihat dengan jelas;
• Sakit kepala diakibatkan keletihan mata;
• Kesukaran melihat semasa memandu kenderaan, terutamanya waktu malam.

Manakala gejala dan simptom rabun jauh pada individu kanak-kanak termasuklah:

• Sentiasa mengecilkan mata;
• Keperluan untuk duduk lebih dekat dengan televisyen, skrin filem atau di depan kelas;
• Kelihatan tidak perasan objek yang jauh;
• Kelip mata secara berlebihan;
• Menggosok mata mereka dengan kerap.

Mungkin terdapat beberapa gejala atau simptom yang dialami tetapi tidak di senaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai simptom atau gejala yang dinyatakan di atas, anda amatlah disarankan untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lebih lanjut.

Cara mengatasi rabun jauh

Pilihan rawatan ada banyak.

Bagi membantu mengatasi masalah rabun jauh yang dihadapi, anda perlu membaiki penglihatan anda dengan cara untuk memfokuskan cahaya pada retina, melalui beberapa pilihan. Antaranya seperti dengan pemakaian kanta pembetulan atau pembedahan refraktif.

Jika anda memutuskan untuk memakai kanta pembetulan untuk merawat masalah rabun anda dengan membantu mencegah peningkatan pada lengkungan kornea atau pemanjangan saiz bola mata anda, anda boleh memilih untuk memakai cermin mata seperti bifokal, trifokal, dan cermin mata membaca. Selain itu, anda boleh memilih untuk memakai kanta lekap yang dipakai terus kepada mata anda.

Yang penting, check dulu power, baru boleh fikirkan tentang harga cermin mata untuk rabun jauh. Walaupun power cuma 50, 100 atau 150, disarankan agar pakai untuk keselesaan.

Jangan risau, kini terdapat pelbagai pilihan kanta lekap yang bersesuaian dengan masalah penglihatan anda seperti kanta lekap lembut (soft contact lens), kanta separa keras atau RGP (Rigid Gas Permeable), Orthokeratology (Ortho-K), kanta lekap hibrid, kanta lekap multifokal atau kanta prostetik.

Tetapi sekiranya anda tidak suka dengan rasa seperti ada sesuatu yang mengganggu penglihatan anda, anda boleh mempertimbangkan untuk melakukan pembedahan refraktif. Prosedur pembedahan ini berkemungkinan akan dapat membantu mengurangkan atau mungkin dapat menghilangkan terus kebergantungan anda kepada cermin mata atau kanta lekap.

Antara prosedur pembedahan yang mungkin boleh menjadi pilihan adalah seperti ‘photorefractive keratectomy’ atau PRK yang merupakan pembedahan laser mata pertama yang digunakan untuk membetulkan penglihatan. Prosedur ini boleh dianggap sebagai ‘abang’ kepada kaedah pembedahan LASIK yang popular pada masa kini. Baca dulu tentang apa itu lasik, untuk lebih memahami prosedurnya.

Jadi prosedur pembedahan lain yang boleh dijadikan pilihan adalah lasik mata atau ‘laser-assisted in situ keratomileusis’ yang menggunakan laser femto untuk memotong satu flap nipis pada permukaan atas kornea. Jika ada rabun dekat, ia boleh hilangkan sekali.

Akhir kata

Rabun jauh

Mendapatkan rawatan untuk membantu mengatasi masalah rabun jauh anda adalah penting.

Selain itu, anda juga amat digalakkan untuk melakukan perubahan gaya hidup seperti mengurangkan tabiat merokok, ia bukan sahaja dapat membantu memperbaiki kesihatan badan yang lain tetapi ia juga membantu dalam aspek penjagaan kesihatan mata anda.

Di samping itu anda perlulah menjalani pemeriksaan mata secara tetap.

Semoga bermanfaat.