Lasik Mata (Eye Lasik Surgery) – Jangan Fikir Kos & Harga Murah Sahaja

Lasik Mata (Eye Lasik Surgery) – Jangan Fikir Kos & Harga Murah Sahaja

Bagi anda yang mempunyai masalah berkaitan mata seperti rabun, pastinya anda pernah mendengar mengenai kaedah rawatan LASIK. Tetapi sejauh mana yang anda tahu mengenai rawatan LASIK ini? Adakah ia berkesan? Jangan hanya memikirkan tentang kos dan harga yang murah semata-mata. Ada banyak lagi aspek yang anda perlu tahu dan ambil berat. Teruskan membaca perkongsian artikel dari kami ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai LASIK yang kami rujuk serba sedikit dari Allaboutvision.

 

Masalah rabun jauh

Tahukah anda hampir 20 peratus daripada masyarakat dunia berdepan dengan masalah ‘myopia’ , iaitu terma dalam Bahasa Inggeris. Dalam Bahasa Melayu, selalunya dipanggil rabun jauh.

LASIK adalah pembedahan laser mata yang paling menjadi pilihan kebanyakan individu untuk merawat masalah berkaitan ‘myopia’. Harus diingatkan, tidak semua orang mampu kerana harganya agak mahal.

 

Maksud lasik

Kami ada berkongsi sebelum ini, apa itu lasik. Namun, izinkan kami menerangkan sekali lagi.

LASIK adalah singkatan daripada ‘Laser Assisted In-situ Keratomileusis’. Ia adalah sejenis prosedur pembedahan mata menggunakan laser yang boleh merawat masalah penglihatan, bukan sahaja rabun jauh, tetapi juga rabun dekat dan masalah astigmatisme.

Masalah rabun berlaku apabila terdapat ketidakseimbangan antara bentuk (lengkungan) kornea yang merupakan lapisan hadapan mata dan saiz bola mata. Ia membuatkan imej gagal diterima oleh retina iaitu reseptor foto di bahagian dalam mata dengan tepat menyebabkan penglihatan menjadi kabur.

 

Kaedah pembedahan lasik

Bagaimana pembedahan LASIK dilakukan?

Pembedahan LASIK menggunakan laser untuk membuang lapisan nipis pada kornea. Ini akan memberikan kornea lengkungan baru yang membolehkan imej dipantulkan di atas retina dengan lebih tepat, seterusnya menghilangkan masalah rabun.

Umumnya, dalam prosedur LASIK ini, penggunaan alat tradisional yang dipanggil ‘mikrokeratom’ iaitu alat yang mengandungi bilah pakai buang atau peranti lebih moden seperti ‘femtosecond laser’ iaitu alat yang menghasilkan tenaga laser pada kadar yang sangat pantas tepat pada sasaran, akan digunakan untuk memotong satu flap yang nipis pada permukaan  kornea. Pesakit akan diberi bius, dengan itu mereka tidak dapat merasa alat yang digunakan.

Kemudian, flap akan diangkat dan ‘excimer laser’ digunakan membuang beberapa tisu kornea dan membentuk kelengkungan kornea baru bagi memulihkan penglihatan. Akhir sekali, flap diletakkan kembali ketempat asal untuk menutup luka tanpa jahitan.

Pembedahan ini dilakukan di klinik pesakit luar dan tidak perlu dimasukkan ke dalam wad. Prosedur yang mengambil masa selama 10 hingga 15 minit ini boleh dilakukan ke atas sebelah atau kedua-dua belah mata dalam satu sesi. Tiada jahitan diperlukan.

 

Ubat bius

Ubat bius yang digunakan hanya dalam bentuk titisan mata dan ia dilakukan dalam keadaan sedar. Sekiranya perlu, doktor perubatan mungkin akan memberikan ubatan tertentu yang berfungsi untuk membantu mengurangkan rasa gemuruh.

Ubat titis mata

Pemberian ubat titis mata yang diprekripsi akan diberikan bersama arahan selepas pembedahan. Kebiasaannya, dalam masa beberapa hari selepas rawatan dilakukan, individu akan mula memperolehi kadar penglihatan yang lebih baik tanpa pemakaian kaca mata atau kanta lekap (contact lens).

 

Keadaan dalam bilik bedah

Jika ingin mendapatkan feeling bagaimana keadaan dalam surgery room, boleh tonton video dari Prof Muhaya, semasa beliau masih lagi bekerja di Prince Court Medical Centre (PCMC)

 

Sebelum pembedahan lasik mata

Sebelum sebarang prosedur pembedahan dilakukan, terdapat beberapa perkara pemeriksaan yang perlu dilakukan untuk memastikan kesesuaian seseorang individu untuk menjalani prosedur LASIK ini.

Untuk pengetahuan umum, terdapat dua peringkat untuk melakukan prosedur LASIK ini iaitu Peringkat Pemeriksaan Penuh dan Peringkat Prosedur. Kedua-dua peringkat dijalankan pada hari yang berasingan.

Peringkat Pemeriksaan memakan masa selama 4 jam dan Peringkat Prosedur iaitu peringkat LASIK memakan masa selama lebih kurang 15 minit sahaja.

Dalam Peringkat Pemeriksaan Penuh, individu yang ingin melakukan pembedahan LASIK perlu menjalani prosedur penilaian dan pemeriksaan berkaitan:

  • Sejarah mata dan perubatan  yang lengkap
  • Pemeriksaan mata yang lengkap
  • Pemeriksaan topografi adalah penting
  • Pemeriksaan ketebalan kornea
  • Pengukuran saiz anak mata dan pergerakan bola mata
  • Refraksi
  • Penilaian koyakkan filem mata dan permukaan okular

Individu yang memakai kanta lekap tegar perlu dikeluarkan untuk beberapa minggu sebelum peperiksaan dan kanta lekap lembut selama beberapa hari untuk minggu sebelum peperiksaan. Pembiasan harus stabil sebelum pembedahan LASIK dilakukan.

 

Pakai cermin mata selepas lasik

Adakah pemakaian cermin mata selepas LASIK itu perlu?

Sememangnya selepas pembedahan, anda tidak memerlukan cermin mata mahupun kanta lekap lagi. Namun, itu adalah jika tidak berlaku sebarang masalah dan prosedur pembedahan berjalan dengan lancar.

Seperti yang dinyatakan di atas dalam Peringkat Pemeriksaan Penuh, doktor akan melihat keadaan mata anda dan menilai sama ada sesuai atau tidak untuk dilakukan LASIK ke atas mata anda. Kebiasaannya, ia sesuai dijalankan bagi kes rabun jauh. Namun, silau dan rabun dekat juga mungkin boleh mendapatkan manfaatnya.

Dalam kebanyakan kes, tiada komplikasi atau kesan serius berlaku selepas pembedahan. Namun, anda harus mengikuti ‘pantang’ yang dinasihatkan oleh doktor seperti tidak menggaru mata, kurangkan melihat cahaya terang pada minggu pertama selepas pembedahan dan bersukan.

Komplikasi selepas lasik mata

Walaupun pembedahan LASIK boleh dikatakan antara prosedur pembedahan yang selamat, namun masih terdapat kesan sampingan dan komplikasi yang berkemungkinan berisiko untuk berlaku kepada seseorang individu yang memilih untuk menjalani rawatan ini. Antara komplikasinya adalah seperti:

Kehilangan penglihatan

Dalam sesetengah kes, terdapat individu yang kehilangan penglihatan akibat LASIK. Selain itu, terdapat juga kes di mana individu kehilangan garis penglihatan yang tidak dapat dibetulkan dengan pemakaian cermin mata, kanta lekap ataupun pembedahan akibat daripada rawatan LASIK ini.

Night time starbursts

Ada juga individu yang mengalami silau, ‘halos’ataupun penglihatan berganda yang serius dan boleh menjejaskan penglihatan pada waktu malam. Walaupun penglihatan umumnya adalah baik pada carta, sesetengah individu tidak dapat melihat dengan baik dalam keadaan kontras rendah, seperti waktu malam, dalam berkabus selepas menjalani rawatan berbanding sebelum melakukan rawatan.

Perubahan yang terlebih atau terkurang

Ia satu keadaan yang tidak mustahil untuk berlaku, sama ada anda akan terlebih atau terkurang rawatan. Dikatakan hanya beberapa peratus individu yang menjalani pembedahan LASIK ini mencapai 20/20 penglihatan tanpa cermin mata atau kanta. Anda mungkin memerlukan rawatan tambahan. Tetapi terdapat kemungkinan rawatan tambahan juga tidak dapat membantu mengatasi masalah ini. Kesannya anda mungkin masih perlu untuk memakai cermin mata atau kanta lekap selepas pembedahan. Sekiranya anda menggunakan cermin mata untuk membaca sebelum pembedahan LASIK, anda berkemungkinan masih perlu mengunakan cermin mata selepas pembedahan sekiranya anda mahu membaca.

Mata kering

Sindrom mata kering yang teruk juga antara komplikasi berisiko untuk berlaku. Hasil daripada pembedahan LASIK, mata anda mungkin tidak dapat menghasilkan air mata yang cukup untuk mengekalkan kelembapan dan keselesaan pada mata. Mengalami masalah mata kering bukan sahaja akan menyebabkan ketidakselesaan, tetapi dalam masa yang sama ia akan mengurangkan kualiti visual seperti kekaburan dan gejala visual yang lain. Keadaan ini cenderung untuk menjadi masalah penglihatan yang kekal. Terapi air mata yang intensif atau sebarang prosedur perubatan lain mungkin perlu untuk dilakukan.

Seiring usia

Tahap penglihatan anda mungkin akan menjadi lebih baik selepas pembedahan LASIK. Namun, anda harus menyedari bahawa keberkesanannya mungkin dan boleh berkurangan seiring dengan peningkatan usia.

Akhir kata

Sebaiknya, sebelum melakukan sebarang keputusan untuk melakukan pembedahan LASIK ini, dapatkan pandangan dan nasihat daripada doktor perubatan mahupun pakar mata.

Ini boleh membantu anda untuk mendapatkan penjelasan yang lebih baik mengenai pembedahan LASIK ini. Jangan terburu-buru dalam membuat keputusan! Pastikan sentiasa menjaga mata selepas lasik.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment