Rabun Dekat: Penyebab dan Cara Mengatasi Masalah Penglihatan Ini

Rabun dekat

Anda berdepan kesukaran untuk melihat sesuatu objek pada jarak yang dekat? Haa.. itu tandanya anda mengalami masalah rabun dekat. Tidak tahu apa itu rabun dekat? Jangan khuatir, anda sedang membuat pilihan bijak dengan memilih untuk membaca perkongsian artikel dari kami ini.

Apa itu rabun dekat?

Rabun dekat ialah masalah penglihatan yang kerap berlaku di mana anda boleh melihat objek jauh lebih jelas daripada objek dekat. Kadar rabun dekat anda mempengaruhi kebolehan anda untuk fokus. Dalam Bahasa Inggeris dan dalam medical term, ia dipanggil hyperopia atau farsightedness. Boleh rujuk MayoClinic untuk maklumat lanjut.

Individu yang mempunyai masalah rabun dekat yang kronik, hanya dapat melihat objek dengan jelas pada jarak yang jauh, manakala bagi individu yang mengalami masalah rabun dekat yang sederhana, masih boleh melihat objek pada jarak yang lebih dekat.

Penyebab rabun dekat

Dipercayai punca utama yang mengakibatkan berlakunya masalah rabun dekat adalah apabila keupayaan mata untuk memfokuskan cahaya kepada retina terjejas. Keadaan ini secara tidak langsung akan menyebabkan cahaya itu jatuh di belakang retina. Selain itu, punca lain yang boleh menjadi faktor penyumbang kepada masalah rabun dekat adalah apabila bebola mata anda terlalu pendek. Ia akan mengakibatkan cahaya jatuh di belakang retina dalam mata.

Faktor yang boleh boleh menjadi punca kepada masalah ini juga adalah apabila kornea di dalam mata terlalu leper dan kanta mata anda gagal menjalankan fungsi untuk fokus dengan baik. Kedua-dua faktor ini turut menyumbang kepada keadaan di mana cahaya yang memasuki mata dan harus difokuskan kepada retina jatuh di belakangnya.

Masalah rabun dekat ini, berisiko untuk berlaku dan terjadi kepada mana-mana individu tanpa mengira peringkat usia. Usia muda atau sudah tua, pun boleh kena. Jadi ini bermakna, kanak-kanak juga berisiko untuk mengalami masalah rabun ini.

Simptom dan gejala rabun dekat

Rabun dekat

Anda mungkin tertanya-tanya apakah tanda atau simptom yang boleh anda kenal pasti untuk mengetahui sama ada anda atau ahli keluarga anda mempunyai masalah rabun dekat ini, bukan?

Terdapat beberapa simptom yang boleh dilihat, antaranya seperti:

Objek dekat kelihatan kabur

Masalah rabun dekat boleh mengganggu pandangan dan penglihatan seseorang individu dalam pelbagai cara. Simptom yang paling umum dan kerap adalah apabila anda tidak dapat melihat objek yang berada pada jarak dekat dengan anda secara jelas, tetapi sebaliknya, bagi objek yang berada pada jarak yang jauh, anda boleh melihatnya dengan begitu jelas.

Menjulingkan mata untuk melihat dengan jelas

Anda mungkin tidak perasan mengenai simptom atau gejala ini. Tetapi individu yang berdepan dengan masalah rabun jenis ini cenderung untuk perlu menjulingkan mata bagi melihat objek yang berada pada jarak dekat dengan lebih jelas.

Mata letih, rasa terbakar dan sakit di sekitar mata
Apabila anda perlu memaksa mata anda untuk bekerja dengan lebih keras bagi membolehkan anda melakukan aktiviti seperti membaca buku ataupun akhbar, mahupun menghadap skrin komputer, mata anda akhirnya akan mengalami keletihan. Disebabkan itu, anda mungkin akan berasa sakit di sekeliling mata anda.

Sakit kepala

Individu yang mengalami masalah rabun, akan lebih kerap untuk melakukan sebarang kerja atau aktiviti seperti membaca, menulis, melukis mahupun menghadap skrin komputer pada jarak yang dekat untuk tempoh masa yang lama. Akibatnya, anda mungkin akan berdepan dengan keadaan yang tidak mendatangkan keselesaan dan akhirnya menimbulkan rasa sakit kepala.

 

Rabun dekat pada kanak-kanak

Bagi individu kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan rabun dekat ini, mungkin tidak akan mengalami sebarang simptom. Walau bagaimanapun, untuk individu kanak-kanak dengan masalah rabun jauh yang sangat kronik, mereka mungkin akan mengalami keadaan seperti sering mengadu sakit kepala, kerap menggosokkan mata dan berdepan kesukaran untuk membaca atau langsung tidak menunjukkan minat dalam membaca.

Kanak-kanak yang kecil dengan simptom rabun dekat haruslah segera dibawa untuk mendapatkan rawatan bagi memulihkan keadaan rabun ini. Seandainya masalah ini tidak cuba diatasi atau dirawat, dalam erti kata lain, anda menganggap rabun dekat ini sebagai satu masalah remeh, maka anak anda berkemungkinan untuk mempunyai mata yang juling.

Walau bagaimanapun, mungkin terdapat beberapa tanda mahupun gejala yang tidak dinyatakan di atas. Jadi, seandainya anda mempunyai kebimbangan atau keraguan untuk sebarang simptom yang mungkin anda alami, sebaiknya, anda berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lebih terperinci.

 

Cara mengatasi rabun dekat

Jadi apakah pilihan rawatan yang ada?

Seandainya anda merasakan anda mungkin mempunyai masalah rabun jauh, anda disaran untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan diagnosis. Cara diagnosis yang akan dilakukan adalah dengan pemeriksaan mata asas. Ia merupakan kaedah pemeriksaan mata lengkap yang melibatkan rangkaian ujan.

Sekiranya anda sememangnya mengalami masalah rabun jauh, anda mungkin disyorkan untuk memakai cermin mata khas untuk individu dengan masalah rabun ini. Anda boleh membuat cermin mata di mana-mana kedai optometris.

Pilihan rawatan lain adalah dengan memakai kanta lekap. Fungsinya sama seperti memakai cermin mata, iaitu membantu masalah penglihatan anda. Cuma apa yang membezakannya dengan cermin mata adalah kanta lekap dimasukkan ke dalam mata anda. Jika anda memilih kaedah ini, pastikan anda mendapatkan nasihat dan rundingan tentang cara penjagaan dan pemakaian kanta lekap yang betul. Ini kerana, kalau anda tidak mengabaikan aspek kebersihan dan penjagaan kanta lekap anda, percayalah, mata anda berisiko untuk mendapat jangkitan mata.

Kaedah rawatan yang terakhir adalah prosedur pembedahan laser. Prosedur pembedahan ini akan membantu mengubah bentuk kornea dalam mata anda sekali gus memberikan tahap penglihatan mata yang lebih jelas bagi seseorang individu.

Walaupun kebanyakan prosedur pembedahan refraktif digunakan untuk merawat rabun jauh, ia juga boleh digunakan untuk rabun dekat. Rawatan prosedur pembedahan ini akan membetulkan rabun dekat dengan membentuk semula lekuk kornea anda. Antara pembedahan yang ada adalah termasuk:

• Laser-assisted in-situ keratomileusis (LASIK).
• Laser-assisted subepithelial keratectomy (LASEK).
• Photorefractive keratectomy (PRK).
• Conductive keratoplasty (CK).

Petua penjagaan mata

Mata adalah antara deria yang penting dan anugerah yang tidak ternilai bagi seseorang individu. Jadi anda harus menjaganya dengan baik. Berikut dikongsikan beberapa petua penjagaan mata yang boleh anda amalkan. Selamat mencuba!

Pemakanan yang sihat dan baik

Perkara yang paling utama adalah untuk memelihara mata anda melalui pemakanan yang anda ambil. Ini kerana mata memerlukan beberapa nutrien tertentu untuk dapat berfungsi sepenuhnya. Antara nutrien yang anda perlukan untuk mendapatkan sepasang mata yang sihat adalah protein, kalsium, zink, antioksidan, asid lemak omega-3, lutein dan zeaxanthin.

Senaman mata

Siapa kata mata tidak perlu bersenam? Selain menjaga aspek pemakanan, anda juga perlu mengamalkan senaman mata yang ringkas bagi mengekalkan tahap penglihatan yang optimum. Lakukannya sebelum tidur, selepas bangun tidur atau pada bila-bila ketika mata anda berasa tidak selesa. Antara senaman mata yang boleh anda lakukan adalah seperti fokuskan pandangan mata anda terhadap sesuatu objek pegun. Misalannya, anda boleh menggunakan sebatang pen, dekat dan jauhkannya untuk beberapa kali bagi mendapatkan fokus yang baik.

Rehatkan mata

Selain bersenam, mata anda juga memerlukan waktu untuk berehat. Aspek ini adalah mata penting khususnya bagi individu yang kerap menghadap skrin komputer setiap hari untuk tempoh yang lama sama anda di tempat kerja atau di pusat pengajian. Jadi amat penting untuk anda memperuntukkan masa rehat untuk mata. Sebaiknya, setiap 30 minit atau paling maksimum 1 jam selepas anda fokus kepada tugasan anda, alihkan pandangan anda ke tempat lain untuk memberikan peluang mata anda untuk berehat.

 

Akhir kata

Rabun jauh

Jika anda berasa lain macam dengan pandangan mahupun penglihatan anda, segeralah untuk mendapatkan pemeriksaan doktor. Kalau anda melengah-lengahkan keadaan ini, masalah ini akan menjadi lebih kronik dan akhirnya menjejaskan kegiatan harian anda.

Jemput baca tentang penyebab rabun jauh jika anda tak nampak objek jauh.

Semoga bermanfaat.

Rabun Jauh: Penyebab & Cara Mengatasi (Sila Beli Cermin Mata)

Rabun jauh

Masalah penglihatan yang melibatkan rabun jauh semestinya mendatangkan gangguan kepada individu yang mengalaminya. Tetapi apakah sebenarnya rabun jauh ini? Dan adakah terdapat rawatan untuk mengatasi masalah ini? Teruskan membaca perkongsian artikel kami ini.

Apa itu rabun jauh?

Rabun jauh adalah antara masalah penglihatan paling kerap berlaku di dunia. Dalam Bahasa Inggeris, ia dipanggil miopia.

Kebiasaannya mula dikesan semasa seseorang individu masih belajar di peringkat sekolah rendah apabila terdapat kepayahan dalam membaca dan melihat tulisan di papan putih. Ia juga disebut sebagai myopia atau ‘nearsightedness’.

Sekiranya anda mengalami masalah penglihatan ini anda tidak akan dapat melihat objek jauh tetapi anda dapat melihat objek yang dekat dengan jelas. Masalah penglihatan ini menyebabkan anda sukar untuk melihat objek yang jauh.

Contoh rabun jauh

Sebagai contoh, anda mungkin sukar untuk melihat atau mengenal pasti tanda jalan di lebuh raya walaupun ia cuma berjarak beberapa kaki dari anda. Masalah ini boleh meningkat secara mendadak atau perlahan-lahan.

Keadaan kesihatan ini ialah biasa bagi mereka yang berusia antara 8 ke 12 tahun, tapi ia juga boleh terjadi kepada mana-mana individu tanpa mengira peringkat usia.

Bagaimana rabun jauh boleh berlaku?

Tetapi bagaimana masalah ini boleh berlaku?

Imej pantulan

Mata adalah organ yang sangat unik dan berharga. Tanpa penglihatan, banyak perkara yang tidak dapat dilakukan. Bagi orang normal, imej yang dipantulkan oleh cahaya akan dipancarkan ke dalam mata dan jatuh di atas retina di bahagian belakang mata yang mengandungi reseptor foto.

Selepas menerima pantulan imej, reseptor foto akan menukar imej tersebut ke dalam bentuk signal elektrik untuk dihantar ke otak melalui urat saraf optik. Bahagian otak oksipital menerima signal untuk diterjemahkan menjadi maksud imej tersebut. Jika ia adalah gunung, otak akan memaklumkan kepada anda bahawa ia adalah gunung. Jika laut, anda akan melihat laut.

Dalam kes rabun jauh, imej yang dipantulkan ke dalam mata tidak jatuh di atas retina. Sebaliknya, ia jatuh di hadapan retina. Ini menyebabkan signal yang dihantar ke otak menjadi tidak jelas kerana reseptor foto tidak dapat memproses dengan baik memandangkan imej tidak jatuh di atasnya secara tepat. Semakin jauh jarak imej daripada mata, semakin jauh imej itu jatuh daripada retina dan sebaliknya. Sebab itu namanya rabun jauh.

Punca rabun jauh

Rabun jauh yang anda alami mungkin disebabkan oleh keadaan saiz bola mata anda yang menjadi lebih panjang daripada normal atau mempunyai kornea yang terlalu melengkung mengakibatkan imej tidak boleh dipantul ke atas retina. Terdapat dua faktor risiko utama:

Sejarah keluarga

Antara faktor yang mungkin meningkatkan kecenderungan anda untuk mengalami masalah penglihatan ini adalah jika terdapat salah seorang mahupun kedua-dua ibu bapa yang mempunyai masalah rabun.

Aktiviti dalam jarak dekat

Kebiasaan atau kekerapan melakukan aktiviti dalam jarak dekat seperti membaca, menggunakan komputer untuk tempoh yang lama meningkatkan risiko untuk mengalami rabun jauh.
Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa keadaan yang menyebabkan berlakunya rabun jauh untuk tempoh sementara seperti:

Rabun malam

Terdapat sesetengah individu mengalami masalah rabun hanya pada waktu malam. Keadaan ini disebabkan oleh kekurangan cahaya untuk fokus atau terlalu banyak cahaya di bahagian tepi sehingga mengganggu fokus mata.

Rabun tipu

Haaa..terkejut bukan? Rabun pun tipu-tipu. Keadaan rabun tipu ini boleh berlaku apabila seseorang individu melakukan aktiviti pada jarak dekat untuk tempoh yang terlalu lama. Ia mengakibatkan otot yang mengawal fokus mata menjadi letih dan gagal untuk berfungsi dengan baik.

Diabetes

Jika anda menghidapi masalah diabetes, masalah kesihatan ini turut boleh menjadi punca yang membuatkan penglihatan anda menjadi kabur.

Selalunya masalah rabun jauh dianggap sebagai satu masalah yang tidak serius. Terdapat banyak pilihan rawatan yang ada pada hari ini membuatkan mereka yang mengalaminya boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

Tanda rabun jauh

Simptom yang dialami oleh individu kanak-kanak dan dewasa yang berdepan dengan masalah rabun jauh adalah berbeza.

Berikut adalah antara gejala dan simptom yang boleh anda kenal pasti untuk menyedari jika anda atau anak anda mungkin mengalami masalah rabun jauh.

Antara ciri-ciri biasa bagi rabun jauh bagi individu dewasa, adalah seperti:
• Penglihatan kabur ketika melihat objek yang jauh;
• Keperluan untuk mengecilkan mata atau menutup separuh kelopak mata untuk melihat dengan jelas;
• Sakit kepala diakibatkan keletihan mata;
• Kesukaran melihat semasa memandu kenderaan, terutamanya waktu malam.

Manakala gejala dan simptom rabun jauh pada individu kanak-kanak termasuklah:

• Sentiasa mengecilkan mata;
• Keperluan untuk duduk lebih dekat dengan televisyen, skrin filem atau di depan kelas;
• Kelihatan tidak perasan objek yang jauh;
• Kelip mata secara berlebihan;
• Menggosok mata mereka dengan kerap.

Mungkin terdapat beberapa gejala atau simptom yang dialami tetapi tidak di senaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai simptom atau gejala yang dinyatakan di atas, anda amatlah disarankan untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lebih lanjut.

Cara mengatasi rabun jauh

Pilihan rawatan ada banyak.

Bagi membantu mengatasi masalah rabun jauh yang dihadapi, anda perlu membaiki penglihatan anda dengan cara untuk memfokuskan cahaya pada retina, melalui beberapa pilihan. Antaranya seperti dengan pemakaian kanta pembetulan atau pembedahan refraktif.

Jika anda memutuskan untuk memakai kanta pembetulan untuk merawat masalah rabun anda dengan membantu mencegah peningkatan pada lengkungan kornea atau pemanjangan saiz bola mata anda, anda boleh memilih untuk memakai cermin mata seperti bifokal, trifokal, dan cermin mata membaca. Selain itu, anda boleh memilih untuk memakai kanta lekap yang dipakai terus kepada mata anda.

Yang penting, check dulu power, baru boleh fikirkan tentang harga cermin mata untuk rabun jauh. Walaupun power cuma 50, 100 atau 150, disarankan agar pakai untuk keselesaan.

Jangan risau, kini terdapat pelbagai pilihan kanta lekap yang bersesuaian dengan masalah penglihatan anda seperti kanta lekap lembut (soft contact lens), kanta separa keras atau RGP (Rigid Gas Permeable), Orthokeratology (Ortho-K), kanta lekap hibrid, kanta lekap multifokal atau kanta prostetik.

Tetapi sekiranya anda tidak suka dengan rasa seperti ada sesuatu yang mengganggu penglihatan anda, anda boleh mempertimbangkan untuk melakukan pembedahan refraktif. Prosedur pembedahan ini berkemungkinan akan dapat membantu mengurangkan atau mungkin dapat menghilangkan terus kebergantungan anda kepada cermin mata atau kanta lekap.

Antara prosedur pembedahan yang mungkin boleh menjadi pilihan adalah seperti ‘photorefractive keratectomy’ atau PRK yang merupakan pembedahan laser mata pertama yang digunakan untuk membetulkan penglihatan. Prosedur ini boleh dianggap sebagai ‘abang’ kepada kaedah pembedahan LASIK yang popular pada masa kini. Baca dulu tentang apa itu lasik, untuk lebih memahami prosedurnya.

Jadi prosedur pembedahan lain yang boleh dijadikan pilihan adalah lasik mata atau ‘laser-assisted in situ keratomileusis’ yang menggunakan laser femto untuk memotong satu flap nipis pada permukaan atas kornea. Jika ada rabun dekat, ia boleh hilangkan sekali.

Akhir kata

Rabun jauh

Mendapatkan rawatan untuk membantu mengatasi masalah rabun jauh anda adalah penting.

Selain itu, anda juga amat digalakkan untuk melakukan perubahan gaya hidup seperti mengurangkan tabiat merokok, ia bukan sahaja dapat membantu memperbaiki kesihatan badan yang lain tetapi ia juga membantu dalam aspek penjagaan kesihatan mata anda.

Di samping itu anda perlulah menjalani pemeriksaan mata secara tetap.

Semoga bermanfaat.